Wednesday, May 21, 2008

'Komplot' 3 Tan Sri batal dakwat kekal



'Komplot' 3 Tan Sri batal dakwat kekal
May 22, 08 1:42pm

Pembatalan dakwat kekal menjelang pilihanraya umum lalu hasil "komplot" tiga badan utama negara untuk "menggagalkan usaha memastikan pilihanraya itu tidak dicemari penipuan", dakwa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).
Dalam laporan polisnya, jurucakap gabungan itu Faisal Mustaffa mendakwa usaha terancang itu melibatkan
pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman,
peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan
ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan."
Saya meminta agar pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia untuk membuat penyiasatan ke atas pengerusi SPR, perdana menteri dan ketua polis negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia," kata Faisal.
Aduan polis itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi tadi.
Minggu lepas Abdul Rashid mendedahkan, kabinet memutuskan pada hari pembubaran parlimen 13 Februari untuk menolak pelaksanaan dakwat kekal di jari pengundi dalam pilihanraya umum 8 Mac.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hari yang sama bagaimanapun menafikan kabinet mengarahkan suruhanjaya itu berbuat demikian.
Tahun lalu SPR bersetuju melaksanakan langkah tersebut dalam pilihanraya umum ke-12 tetapi kemudian membatalkannya empat hari menjelang pengundian dengan alasan keselamatan.
Kira-kira RM2.9 juta dibelanjakan untuk membeli 48,000 botol dakwat tidak mudah padam dari India tetapi pelaksanaannya dibatalkan kerana bimbang wujud unsur sabotaj seperti telah dikesan oleh polis.
Menteri keselamatan dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar minggu lepas memberitahu Dewan Rakyat bahawa SPR membatalkan cadangan dakwat kekal berdasarkan "bukti khabar angin".
Abdul Rashid juga mendedahkan bahawa kabinet telah terpengaruh dengan maklumat polis bahawa wujud parti-parti politik yang membeli sendiri dakwat-dakwat kekal dari luar negara.
"Saya dimaklumkan bahawa PAS di pantai timur membeli dakwat dari Thailand.
Kemudian Umno mendapat tahu (mengenainya) dan Umno juga membeli dakwat tersebut.
"(Maklumat) ini diberikan kepada saya secara hitam putih oleh polis dan laporan yang sama diberikan kepada kabinet dan mereka (menteri) percaya ia memang benar-benar wujud," katanya Sabtu lepas di satu seminar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Dalam aduan polisnya, Bersih melampirkan 12 keratan akhbar berhubung kontroversi ini, termasuk laporan Bernama, The Star dan Malaysiakini.

Saturday, May 10, 2008

Status Siasatan Isu Dakwat Kekal SPR Dipersoal

Status Siasatan Isu Dakwat Kekal SPR Dipersoal



Ditulis oleh MatStringer
Friday, 09 May 2008

Bermula daripada cadangan penggunaan, hinggalah keputusan pembatalannya, isu penggunaan dakwat kekal pada kuku dalam pilihan raya umum Mac lepas terus menjadi topik hangat dalam kalangan ahli politik tempatan.

Laporan Bernama hari ini menyatakan setelah genap dua bulan pilihan raya umum berlalu, seorang anggota Parlimen membangkitkan pula persoalan yang didakwa masih tidak terjawab, iaitu status siasatan isu berkenaan dan di mana dakwat yang menelan belanja RM2.4 juta itu berada?

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) ketika membahaskan usul terima kasih atas titah Yang Dipertuan Agong hari ini menuntut agar penjelasan terperinci diberikan kepada anggota Parlimen mengenai status siasatan yang telah dibuat."

Dulu alasan yang diberikan ialah untuk ketenteraman dan (supaya) proses pilihan raya berjalan lancar. Kononnya cadangan untuk guna dakwat tidak boleh diteruskan kerana wujud individu tertentu yang telah membawa masuk dakwat dari negara jiran untuk membuat kacau dan menipu dalam pilihan raya itu."

Tiada keterangan saksi, tiada individu, sindiket atau pihak tertentu yang dikemukakan dan akhirnya ia dikatakan hanya khabar angin.

Bila kertas siasatan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa raya pada 14 Mac, dalam masa tujuh hari (21hb Mac) kes diklasifikasikan sebagai "no further action" (tiada tindakan lanjut), siapa telah menipu di sini?" soalnya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika mengumumkan keputusan membatalkan penggunaan dakwat kekal pada kuku dalam pilihan raya lepas berkata ia dibuat berikutan nasihat undang-undang dan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam.

Pembatalan itu juga dibuat setelah siasatan polis mendapati ada cubaan pihak tertentu membawa masuk dakwat itu untuk diguna pada hari pengundian bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.

Fong mahu anggota dewan diberikan bukti kukuh sehingga pihak polis boleh membuat kesimpulan adanya pihak tertentu yang berhasrat membuat plot untuk menipu dalam pilihan raya itu.

Beliau juga membangkitkan persoalan mengenai apa yang terjadi kepada dakwat berkenaan kerana ia hanya mempunyai tempoh hayat selama enam bulan