Saturday, May 10, 2008

Status Siasatan Isu Dakwat Kekal SPR Dipersoal

Status Siasatan Isu Dakwat Kekal SPR Dipersoal



Ditulis oleh MatStringer
Friday, 09 May 2008

Bermula daripada cadangan penggunaan, hinggalah keputusan pembatalannya, isu penggunaan dakwat kekal pada kuku dalam pilihan raya umum Mac lepas terus menjadi topik hangat dalam kalangan ahli politik tempatan.

Laporan Bernama hari ini menyatakan setelah genap dua bulan pilihan raya umum berlalu, seorang anggota Parlimen membangkitkan pula persoalan yang didakwa masih tidak terjawab, iaitu status siasatan isu berkenaan dan di mana dakwat yang menelan belanja RM2.4 juta itu berada?

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) ketika membahaskan usul terima kasih atas titah Yang Dipertuan Agong hari ini menuntut agar penjelasan terperinci diberikan kepada anggota Parlimen mengenai status siasatan yang telah dibuat."

Dulu alasan yang diberikan ialah untuk ketenteraman dan (supaya) proses pilihan raya berjalan lancar. Kononnya cadangan untuk guna dakwat tidak boleh diteruskan kerana wujud individu tertentu yang telah membawa masuk dakwat dari negara jiran untuk membuat kacau dan menipu dalam pilihan raya itu."

Tiada keterangan saksi, tiada individu, sindiket atau pihak tertentu yang dikemukakan dan akhirnya ia dikatakan hanya khabar angin.

Bila kertas siasatan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa raya pada 14 Mac, dalam masa tujuh hari (21hb Mac) kes diklasifikasikan sebagai "no further action" (tiada tindakan lanjut), siapa telah menipu di sini?" soalnya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika mengumumkan keputusan membatalkan penggunaan dakwat kekal pada kuku dalam pilihan raya lepas berkata ia dibuat berikutan nasihat undang-undang dan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam.

Pembatalan itu juga dibuat setelah siasatan polis mendapati ada cubaan pihak tertentu membawa masuk dakwat itu untuk diguna pada hari pengundian bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.

Fong mahu anggota dewan diberikan bukti kukuh sehingga pihak polis boleh membuat kesimpulan adanya pihak tertentu yang berhasrat membuat plot untuk menipu dalam pilihan raya itu.

Beliau juga membangkitkan persoalan mengenai apa yang terjadi kepada dakwat berkenaan kerana ia hanya mempunyai tempoh hayat selama enam bulan

No comments: