Sunday, July 13, 2008

Seperti Medan Perang: Polis Bersenjata Kepung Parlimen

Isnin, 14 Julai 2008

Seperti medan perang! Begitulah gambaran situasi di Parlimen hari ini berikutan kepungan polis. Dengan anggota bersenjata mengawal setiap laluan menuju ke mercu rakyat tersebut, ratusan dan mungkin ribuan kereta ditahan, diperiksa dan dipaksa mengambil laluan lain menuju destinasi masing-masing.

Dari dalam premis Parlimen, kumpulan-kumpulan peronda terdiri tiga anggota pegawai keselamatan bersenjata sub-mesingan meronda dan memantau pergerakan wartawan dan Ahli-Ahli Parlimen.

Di Dewan Rakyat, Pakatan Rakyat mempersoalkan keperluan kawalan ini, walaubagaimanapun ia dihalang Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia. Katanya, risikan pihak berkuasa memaklumkan pentadbiran Parlimen bahawa wujudnya anasir-anasir tertentu yang berkomplot untuk mengadakan demonstrasi di Parlimen.

Atas nama keselamatan, Pandikar berkata pihak Pakatan Rakyat tidak perlu mempersoalkan keputusan Ketua Polis Negara mengerah anggota polis bersenjata, unit anti-rusuhan dan polis trafik mengepung kawasan Parlimen.

Pakatan Rakyat bagaimanapun berkata Menteri Dalam Negeri Syed Hamid Albar yang hadir di Dewan Rakyat hari ini menjelaskan kepada Parlimen siapa, dan atas bukti apa, yang kononnya akan menganjurkan demonstrasi itu.

Ketua Whip Pembangkang Azmin Ali berkata tuduhan bahawa Pakatan Rakyat akan menganjurkan demonstrasi tersebut berniat jahat, dan ia cubaan provokasi dari pihak BN. Jelas beliau lagi, sekatan-sekatan ini dibuat bagi menghalang Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim dari menghadiri perbahasan Parlimen hari ini.

MP Lim Kit Siang juga berkata sekatan ini telah menyalahi Peraturan Parlimen kerana kepungan ini menghalang pergerakan wakil rakyat ke Parlimen. Ia juga menyebabkan laluan trafik di Lembah Klang menuju Pusat Bandar Kuala Lumpur hampir lumpuh.

Syed Hamid Albar bagaimanapun mendiamkan diri.

No comments: